Tuesday, March 6, 2007 @4:50 PM
Seminggu sudah pun berlalu... Sambutan Tahun Baru Cina berlalu dengan cepat sangat. Baru seminggu yang lalu, saya bersama keluarga sibuk menziarahi saudara-mara di Pulau Pinang. Begitu cepatnya masa perayaan tamat dalam sekelip mata. Rindunya pada datuk, pak cik, mak cik dan sepupu yang berada jauh dari mata tetapi dekat di hati.
Tahun ini agak berbeza berbanding tahun yang lain. Mengapa rasanya? Entahlah. Mungkin disebabkan oleh cuaca yang agak mendung sepanjang Tahun Baru Cina. Biasanya, cuacanya agak panas terutamanya pada hari pertama Tahun Baru Cina. Tahun ini hujan pula. Walau bagaimanapun, semagat yang tinggi melompat tidak hilang dari hati. Di mana-mana kami jejak, kelihatan pelbagai hiasan yang berwarna merah melambangkan kekayaan. Kedai-kedai di merata tempat memasang muzik Tahun Baru Cina dengan penuh rasa semangat menyambut hari perayaan.
Selain itu, saya menyedari bahawa di mana-mana saja kami kunjung, makanan yang disediakan sama hidangannya. Hal ini menunjukkan bahawa setiap hidangan membawa makna tertentu. Pada malam pertama, kami menjamu selera bersama seisi keluarga di rumah datuk. Ibu dan makcik-makcik bertungkus-lumus menyediakan makanan yang secukupnya untuk kira-kira 15 orang. Walaupun meletihkan, mereka berasa seronok kerana keadaan yang begitu meriah sekali.
Kemudian, kami saling menziarahi saudara mara di sekitar Pulau Pinang seperti tahun-tahun yang lepas. Rasa seronok dapat berjumpa dengan sepupu serta saling bertukar cerita tentang pengalaman di sekolah dan sebagainya. Saya juga mula bersembang panjang dengan pakcik dan makcik saya. Sebelum ini, kami jarang-jarang bersembang selain bertanya khabar, tahun ini pula berbeza. Mungkin saya sudah mula menjejak dunia orang dewasa. Hebat rasanya dapat menukar pendapat dengan orang dewasa berbanding duduk berdekatan tanpa bersuara. Walaupun sentiasa dinasihati oleh orang tua untuk mengelak aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah, kami mula berjudi sebaik sahaja habis bersembang.
Walaupun kerajaan telah mengharamkan mercun dan bunga api seperti yang dipaparkan dalam surat khabar, namun seluruh penduduk Malaysia masih giat melepaskan bahan api ini pada hari perayaan. Kalau tidak, semangat Tahun Baru Cina akan luntur. Hal ini kerana, mercun dan bunga api merupakan lambang utama perayaan ini. Jika keistimewaan ini diharamkan, sebahagian makna perayaan ini akan hilang. Namun begitu, rakyat juga dinasihati supaya berhati-hati dan main bahan-bahan api ini dengan had yang tertentu =]
Akhir kata, Tahun Baru Cina ini akan saya semati dalam hati untuk jangka masa yang panjang. Peristiwa-peristiwa yang manis tidak akan saya lupai. Hubungan saya dengan saudara mara yang semakin erat setiap tahun akan saya hartakan dalam jiwa. Harap-harap tahun depan akan membawa pengalaman yang berbeza.
~Stephanie
by Grace_MeiShan_Stephanie