Wednesday, March 7, 2007 @7:57 PM
Akhbar banyak menyiarkan berita tentang gejala-gejala sosial. Saban hari, masalah ini bertambah serius. Golongan yang sering terlibat dalam masalah ini ialah golongan remaja. Remaja pada hari ini merupakan pemerintah pada masa hadapan. Ini lebih membimbangkan semua pihak. Jadi, apakah faktor yang menyebabkan remaja terlibat dalam kegiatan-kegiatan sosial ini? Sebenarnya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi para remaja. Pengaruh keluarga merupakan faktor paling utama. Ibu bapa yang tidak peduli serta tidak memberi kasih sayang yang sepenuhnya kepada para remaja mendorong mereka untuk melibatkan diri dalam kegiatan tidak berfaedah. Perlakuan ibu bapa turut mempengaruhi remaja. Bak kata pepatah, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Selain itu, kurangnya didikan agama juga menyebabkan remaja terjerumus ke dalam kegiatan tidak berfaedah. Pendidikan agama dan moral harus diterapkan dalam diri remaja sejak kecil lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Agama mendorong remaja ke jalan yang benar dan menghidari mereka daripada kegiatan-kegiatan sosial. Tiada agama dalam dunia ini yang mengajar seseorang individu perkara yang tidak baik malah berbuat jahat.Contoh-contoh perlakuan para remaja yang membimbangkan masyarakat adalah seperti pergaulan bebas, menagih dadah, merokok dan kegiatan ahli buli. Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini harus dijalankan. Kempen-kempen kesedaran harus dianjurkan oleh pihak bertanggungjawab bagi mempertingkatkan kesedaran orang ramai. Undang-undang juga patut dikuatkuasakan agar lebih tegas. Selain itu, nilai-nilai baik berasaskan pendidikan moral dan agama harus diterapkan dalam diri para remaja. Pelajaran sekolah ini haruslah merangkumi sukatan-sukatan ini. Sesungguhnya, masalah ini dapat diatasi sekiranya masyarakat setempat berganding bahu mengatasinya.
by Grace_MeiShan_Stephanie
Tuesday, March 6, 2007 @4:50 PM
Seminggu sudah pun berlalu... Sambutan Tahun Baru Cina berlalu dengan cepat sangat. Baru seminggu yang lalu, saya bersama keluarga sibuk menziarahi saudara-mara di Pulau Pinang. Begitu cepatnya masa perayaan tamat dalam sekelip mata. Rindunya pada datuk, pak cik, mak cik dan sepupu yang berada jauh dari mata tetapi dekat di hati.
Tahun ini agak berbeza berbanding tahun yang lain. Mengapa rasanya? Entahlah. Mungkin disebabkan oleh cuaca yang agak mendung sepanjang Tahun Baru Cina. Biasanya, cuacanya agak panas terutamanya pada hari pertama Tahun Baru Cina. Tahun ini hujan pula. Walau bagaimanapun, semagat yang tinggi melompat tidak hilang dari hati. Di mana-mana kami jejak, kelihatan pelbagai hiasan yang berwarna merah melambangkan kekayaan. Kedai-kedai di merata tempat memasang muzik Tahun Baru Cina dengan penuh rasa semangat menyambut hari perayaan.
Selain itu, saya menyedari bahawa di mana-mana saja kami kunjung, makanan yang disediakan sama hidangannya. Hal ini menunjukkan bahawa setiap hidangan membawa makna tertentu. Pada malam pertama, kami menjamu selera bersama seisi keluarga di rumah datuk. Ibu dan makcik-makcik bertungkus-lumus menyediakan makanan yang secukupnya untuk kira-kira 15 orang. Walaupun meletihkan, mereka berasa seronok kerana keadaan yang begitu meriah sekali.
Kemudian, kami saling menziarahi saudara mara di sekitar Pulau Pinang seperti tahun-tahun yang lepas. Rasa seronok dapat berjumpa dengan sepupu serta saling bertukar cerita tentang pengalaman di sekolah dan sebagainya. Saya juga mula bersembang panjang dengan pakcik dan makcik saya. Sebelum ini, kami jarang-jarang bersembang selain bertanya khabar, tahun ini pula berbeza. Mungkin saya sudah mula menjejak dunia orang dewasa. Hebat rasanya dapat menukar pendapat dengan orang dewasa berbanding duduk berdekatan tanpa bersuara. Walaupun sentiasa dinasihati oleh orang tua untuk mengelak aktiviti-aktiviti yang kurang berfaedah, kami mula berjudi sebaik sahaja habis bersembang.
Walaupun kerajaan telah mengharamkan mercun dan bunga api seperti yang dipaparkan dalam surat khabar, namun seluruh penduduk Malaysia masih giat melepaskan bahan api ini pada hari perayaan. Kalau tidak, semangat Tahun Baru Cina akan luntur. Hal ini kerana, mercun dan bunga api merupakan lambang utama perayaan ini. Jika keistimewaan ini diharamkan, sebahagian makna perayaan ini akan hilang. Namun begitu, rakyat juga dinasihati supaya berhati-hati dan main bahan-bahan api ini dengan had yang tertentu =]
Akhir kata, Tahun Baru Cina ini akan saya semati dalam hati untuk jangka masa yang panjang. Peristiwa-peristiwa yang manis tidak akan saya lupai. Hubungan saya dengan saudara mara yang semakin erat setiap tahun akan saya hartakan dalam jiwa. Harap-harap tahun depan akan membawa pengalaman yang berbeza.
~Stephanie
by Grace_MeiShan_Stephanie
Friday, March 2, 2007 @11:38 PM
Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini telah dirayakan dengan meriah sekali. Tidak seperti rakan-rakan saya yang lain, saya tidak perlu melalui perjalanan yang meletihkan untuk pulang ke kampung. Ini kerana semua ahli keluarga saya berada di Kuala Lumpur.
Pada hari sebelum Tahun Baru Cina, saya dan adik bekerjasama membantu ibu mengemas rumah. Barang-barang dilap dan lantai disapu. Perhiasan-perhiasan berkaitan dengan Tahun Baru Cina digantung bagi mewujudkan suasana dan perasaan Tahun Baru Cina. Pada waktu malam, semua ahli keluarga saya termasuk bapa saudara, ibu saudara serta sepupu-sepupu saya telah berkumpul di rumah nenek saya yang terletak di Kuala Lumpur. Kami telah menikmati lauk-lauk lazat yang dimasak oleh nenek saya.
Pada hari pertama Tahun Baru Cina, kami sekeluarga telah memulakan perjalanan kami pada hari tersebut selepas bersarapan kira-kira pada pukul 10.00 pagi. Destinasi pertama kami pada hari tersebut ialah rumah nenek saya. Adalah menjadi tradisi untuk kami melawat beliau dahulu sebelum melawat orang lain. Setibanya di sana, kelihatan sepupu-sepupu saya yang telahpun mula berjudi. Perasaan gembira dan seronok menyelubungi perasaan setiap orang.
Selepas itu, kami pun menuju ke rumah rakan ibu saya. Memandangkan rakan ibu saya merupakan seorang 'vegetarian', kami dijamu makanan yang tidak mengandungi daging. Pada mulanya, saya menyangka makanan tersebut tentunya tidak sedap. Tetapi jangkaan saya salah. Makanan yang dimasaknya sedap-sedap belaka. Seronok kami sekeluarga menjamu selera di sana.
Kami pun menuju ke tokong selepas itu. Adalah menjadi kebiasaan untuk kami ke tokong untuk menyembah pada hari pertama Tahun Baru Cina. Alangkah bertuahnya kami kerana pertunjukan tarian singa dipersembahkan tidak jauh dari tokong tersebut. Tarian singa semakin luput ditelan zaman. Tradisi ini semakin dilupakan oleh generasi masa kini. (Saya tidak tergolong dalam kumpulan tersebut. :)) Kini, jarang-jarang dapat melihat pertunjukan tersebut.
Kami sekeluarga pun pulang ke rumah selepas itu. Selepas berehat seketika, kami pun bertolak ke rumah datuk saya. Sebaik sahaja selesai makan malam, saya dan sepupu-sepupu yang lain pun mula berjudi. Kami telah berjudi hingga ke tengah malam. Ketika berjudi, kedengaran bunyi letupan-letupan mercun. Bunyi-bunyi inilah yang mewujudkan lagi suasana Tahun Baru Cina.
Hari tersebut telah dilalui dengan seronok sekali. Saya amat berharap hari-hari yang akan datang turut dilalui dengan seronok dan gembira.
mei shan.
by Grace_MeiShan_Stephanie
@4:04 PM
Pada hari Jumaat yang lalu, saya sekeluarga telah balik ke Kuala Terengganu untuk menyambut Tahun Baru Cina. Perjalanan yang panjang telah meletihkan kami semua. Tentu Pn. Hanim mengetahui keletihan yang dialami apabila berpeluang bercuti ke Terengganu. Kami bertolak pada 11 pagi. Saudara-mara kami juga turut mengikut kami balik kampung. Setelah 6 jam di kereta, tibalah kami di Kuala Terengganu. Kami semua berkumpul di rumah nenek saya. Kami makan malam bersama-sama. Saya berasa gembira dapat meluangkan masa dengan saudara-mara yang lama tidak berjumpa.
Pada keesokan hari pula, kami keluar mengunjungi rakan-rakan ibu. Sebuah jamuan diadakan pada sebelah malam untuk perayaan Tahun Baru Cina. Selepas itu, kami pula balik ke rumah mak cik saya untuk makan "tong yuen". Lelaki-lelaki yang kaki botol pula minum arak. Ada yang mabuk dan tidak sedar diri. Kelakarnya suasana pada malam tersebut. Pada pukul 12.00 pagi, kami pergi ke rumah mak cik yang berlainan. Di situ, kami melihat bunga api. Saya berasa sungguh seronok dapat memulakan Tahun Baru Cina dengan suasana yang begitu meriah sekali.
Sewaktu saya bangun dari tidur, ibu telah menggesa saya untuk bersiap sedia untuk menyambut Tahun Baru Cina. Kami makan nasi dagang yang begitu sedap rasanya di rumah nenek. Untuk mendapat angpau, kami yang belum kahwin harus mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada orang yang sudah berkahwin. Pada hari itu, kami kanak-kanak sibuk mengumpulkan angpau. Pada malam tersebut, saya sekeluarga telah bertolak dari Kuala Terengganu untuk ke Kuantan. Kami tiba di Kuantan pada 11 malam. Kami singgah semalam di rumah mak cik saya.Pada pagi Tahun Baru Cina yang ke-2, kami berpeluang untuk melawat salah satu kawan lama ayah saya. Selepas itu, kami barulah bertolak pulang menuju ke Kuala Lumpur. Kami tiba pada pukul 4 petang. Sambutan hangat Tahun Baru Cina tidak berhenti di sini sahaja. Malah, di Kuala Lumpur pula, saudara kami semua telah mengadakan jamuan "reunion" pada malam itu juga. Saya berasa gembira pada tahun ini kerana dapat merasai sambutan Tahun Baru Cina yang begitu seronok.*grace*
by Grace_MeiShan_Stephanie